UMS tekankan inovasi aquafeed untuk keterjaminan makanan, ekonomi biru

KOTA KINABALU: Inovasi dalam pembangunan aquafeed atau makanan akuakultur perlu diberi keutamaan sebagai asas kepada keterjaminan makanan negara, kelestarian sektor akuakultur serta pembangunan ekonomi biru, kata Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata, ketika perikanan tangkapan tradisional terus berdepan kemerosotan, akuakultur muncul sebagai alternatif utama, namun keberkesanannya banyak bergantung kepada aspek pemakanan.

Menurut beliau, pemakanan akuakultur merupakan bidang kompleks yang melibatkan kandungan bahan mentah, strategi formulasi makanan, keperluan nutrien spesies ternakan serta pencarian alternatif lestari kepada penggunaan tepung dan minyak ikan.

“Apa yang diberikan kepada spesies akuatik akan menentukan kadar pertumbuhan, tahap kesihatan, kesan terhadap alam sekitar serta daya maju ekonomi industri akuakultur,” katanya di sini semalam.

Kasim turut memaklumkan bahawa industri akuakultur kini menyaksikan perkembangan inovasi baharu termasuk penggunaan protein serangga dan bahan berasaskan alga sebagai alternatif yang lebih lestari.

Sementara itu, Prof Dr Rossita Shapawi berkata, kualiti aquafeed memainkan peranan penting dalam menentukan kesihatan ikan, kejayaan pengusaha akuakultur serta kualiti makanan kepada pengguna.

“Dalam akuakultur, apa yang diberi itulah yang akan dituai,” katanya sambil menambah sektor perikanan tangkapan tradisional kini berdepan pelbagai cabaran, sekali gus menjadikan akuakultur sebagai pilihan yang lebih mampan bagi memenuhi permintaan makanan global.