Sabah alu-alukan pelabur China, sasar ekonomi hijau dan teknologi

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyatakan kesediaan untuk menerima lebih banyak pelaburan dari Republik Rakyat China, khususnya dalam sektor strategik yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan mampan negeri itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata Sabah mempunyai potensi besar dalam pelbagai sektor termasuk minyak dan gas, tenaga, ekonomi biru, pelancongan, pertanian moden serta industri berkaitan teknologi hijau.

Menurutnya, kerjasama pelaburan dengan China bukan sahaja dapat merangsang ekonomi negeri, malah berpotensi memperkukuh pemindahan teknologi, mewujudkan peluang pekerjaan serta membangunkan rantaian ekonomi tempatan.

“Sabah sentiasa terbuka kepada pelabur asing yang berminat untuk meneroka peluang pelaburan jangka panjang dan berdaya maju,” katanya.

Hajiji berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Zhu Xinglong, di Menara Kinabalu, Khamis lalu.

Dalam pertemuan itu, Hajiji turut berharap pejabat Konsul Jeneral China dapat memainkan peranan mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelaburan yang kondusif dalam kalangan komuniti perniagaan China.

Sementara itu, Zhu memaklumkan pejabatnya aktif melaksanakan pelbagai program bagi memperkukuh hubungan diplomatik, ekonomi dan kebudayaan antara Sabah dan China.

Beliau turut menjemput Hajiji menghadiri beberapa majlis rasmi anjuran konsulat China pada tahun depan, selain mengundang ketua menteri itu mengadakan lawatan rasmi ke beberapa wilayah di China bagi meneroka potensi kerjasama lebih luas.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Ceasar Mandela Malakun.