Kurang maklumat punca rakyat tidak tahu bantuan kerajaan, kata Hajiji

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mengarahkan 18 setiausaha politik yang baharu dilantik supaya memastikan maklumat mengenai inisiatif dan dasar kerajaan negeri disampaikan secara berkesan kepada rakyat di peringkat akar umbi.

Beliau berkata peranan setiausaha politik penting dalam membantu menteri serta kerajaan, khususnya dalam menyebarluaskan dasar dan hala tuju pentadbiran negeri.

“Yang penting ialah menyampaikan maklumat mengenai Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 yang akan bermula tahun hadapan,” katanya pada majlis angkat sumpah setiausaha politik di Menara Kinabalu, hari ini.

Hajiji berkata, semasa Pilihan Raya Negeri lalu, beliau mendapati ramai rakyat tidak mengetahui pelbagai inisiatif dan bantuan yang telah dilaksanakan kerajaan negeri walaupun ia telah diumumkan melalui pelbagai saluran media.

Beliau turut merujuk kepada isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) oleh kerajaan negeri serta pemberian biasiswa kepada 39 pemegang sijil tersebut, yang menurutnya masih tidak diketahui oleh sebahagian masyarakat Cina.

“Saya terkejut apabila ramai dalam kalangan masyarakat Cina tidak mengetahui apa yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri walaupun pelbagai bantuan telah disalurkan kepada sekolah-sekolah Cina dan badan keagamaan bukan Islam,” katanya.

Menurut Hajiji, kerajaan negeri di bawah pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah memperuntukkan lebih RM1.3 bilion bagi sektor pendidikan dan pembangunan modal insan, termasuk pelbagai bantuan yang menurutnya tidak pernah dilaksanakan sebelum ini.

Antara bantuan itu ialah pemberian komputer riba percuma, bayaran sekali yuran pendaftaran universiti, subsidi perjalanan pelajar universiti pulang ke kampung halaman semasa cuti, bantuan kepada calon SPM setiap tahun serta pelaksanaan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri.

Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan negeri juga sedang mempertimbangkan permintaan Ahli Dewan Undangan Negeri pembangkang untuk mendapatkan peruntukan pengurusan pejabat, tertakluk kepada budi bicara Menteri Kewangan.

Beliau turut mengingatkan setiausaha politik supaya tidak menyalahgunakan kedudukan masing-masing dan menegaskan tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mengkhianati kepercayaan diberikan.

“Saya mahu semua setiausaha politik bekerja sebagai satu pasukan bagi memastikan dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.