Hajiji umum pemantauan ketat GLC, tegaskan dasar sifar toleransi rasuah

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menegaskan tidak akan berkompromi dalam isu rasuah, salah guna kuasa dan pelanggaran integriti, dengan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mengumumkan beberapa langkah baharu bagi memperketat tadbir urus syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Antara langkah utama yang diumumkan ialah kewajipan semua Ketua Pegawai Eksekutif dan pengurusan tertinggi badan berkanun serta GLC negeri mengemukakan laporan prestasi bertulis setiap tiga bulan secara terus kepada Ketua Menteri, bermula tahun hadapan.

Hajiji berkata, pendekatan itu bertujuan memastikan setiap projek dan perbelanjaan awam dipantau rapi, merangkumi kemajuan pelaksanaan, kedudukan kewangan, keberkesanan perkhidmatan serta pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI).

Beliau turut memaklumkan penempatan seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai Penasihat Integriti kepada Ketua Menteri di Jabatan Ketua Menteri, bagi memperkukuh pelaksanaan prinsip Governans, Integriti dan Antirasuah (GIA) dalam pentadbiran negeri.

Menurutnya, semua GLC juga diwajibkan menubuhkan Unit Integriti dan Governans (IGU) yang berfungsi secara bebas, merangkumi pengurusan aduan, pematuhan, tadbir urus dan integriti, dengan pemantauan berkala oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri serta pelaporan kepada SPRM.

Mengulas dakwaan salah laku melibatkan sebuah syarikat berkepentingan kerajaan negeri, Hajiji menegaskan perkara itu masih dalam siasatan dan kerajaan negeri tidak akan membuat sebarang keputusan yang boleh menjejaskan keyakinan awam atau mencabul prinsip keadilan semula jadi sebelum siasatan diselesaikan.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata mulai 2026, pelaksanaan Program Kemiskinan Tegar Sabah akan menggunakan Pendapatan Garis Kemiskinan 2024, manakala Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) diteruskan dengan bantuan RM300 sebulan kepada 100,000 penerima daripada golongan miskin dan miskin tegar.