KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menegaskan pendiriannya untuk terus menuntut Pemberian Khas 40 peratus hasil bersih Persekutuan seperti diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), selaras dengan keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Oktober 2025.
Timbalan Ketua Menteri, merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pendirian itu mencerminkan kesepakatan politik negeri apabila isu tersebut dibangkitkan oleh 21 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam persidangan DUN Sabah.
Menurut Masidi, kerajaan negeri menyokong sepenuhnya pendirian Sabah Law Society (SLS), termasuk tuntutan berkaitan ‘lost years’, dan menegaskan formula 40 peratus kekal terpakai dalam pengiraan Pemberian Khas Sabah.
Beliau berkata, Sabah sejak awal lagi konsisten meminta Kerajaan Persekutuan supaya tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, sambil berharap Putrajaya menghormati keputusan tersebut.
Bagaimanapun, Masidi menjelaskan bahawa mahkamah tidak menetapkan jumlah muktamad atau mekanisme pembayaran, sebaliknya mengarahkan kajian semula dibuat di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh 90 hari dan persetujuan dicapai dalam 180 hari.
Sehubungan itu, satu jawatankuasa rundingan Persekutuan–Sabah telah ditubuhkan dan mula bermesyuarat pada 17 November 2025, manakala hanya RM600 juta dianggarkan dalam Belanjawan Sabah 2026 sementara menunggu keputusan muktamad.
