RM559.8 juta untuk perkukuh sektor pertanian Sabah pada 2026

KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) diperuntukkan sebanyak RM559.85 juta bagi tahun 2026 bagi memperkukuh sektor pertanian negeri serta menjamin keterjaminan makanan rakyat.

Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, daripada jumlah itu, RM416.76 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan perbekalan manakala RM143.09 juta bagi perbelanjaan pembangunan, sejajar dengan keutamaan kerajaan negeri terhadap sektor berkenaan.

Jamawi berkata, sektor pertanian menyumbang 14.5% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah dengan nilai RM12.2 bilion berdasarkan data 2025, selain memainkan peranan penting dalam menjamin keselamatan dan bekalan makanan negeri.

Beliau berkata, MAFFI mengambil maklum isu yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk pembangunan tanah pertanian terbiar, pemerkasaan industri perikanan hiliran, kawal selia ladang ternakan serta peningkatan sosioekonomi nelayan darat.

Menurutnya, kementerian itu akan memperluaskan penggunaan teknologi pertanian pintar seperti sistem rumah hijau berautomasi, kilang tanaman dalam kontena dan sistem pengairan pintar, selain penubuhan Sabah Agricultural Biotechnology Center (SABTeC) di Tuaran bagi memperkukuh penyelidikan dan pembangunan.

Jamawi berkata, kerajaan negeri turut merancang memperkasakan Program Kebun Dapur dan melaksanakan Program Mentor-Mentee Pertanian bagi menarik penyertaan golongan muda, sambil menggalakkan usahawan industri makanan memanfaatkan platform digital untuk meluaskan pasaran.