KOTA KINABALU: Kerajaan Pusat digesa agar jangan lengah lagi sekali gus bertindak segera menunaikan hak 40 peratus hasil Sabah yang tertangguh lebih 60 tahun.
Itu tegas Presiden Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Rela Sabah, Datuk Jerry Ambuting Mohd Said, yang menyambut baik jaminan PMX tetapi mengingatkan bahawa rakyat Sabah mahukan tindakan, bukan janji manis.
Beliau berkata keputusan PRU DU Sabah ke-17 memberi isyarat jelas bahawa rakyat kini semakin berani menuntut hak negeri termasuk isu MA63 yang masih tergantung.
“Kita tak mahu alasan baharu atau penangguhan lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mesyuarat kaedah pembayaran sebelum pertengahan Januari 2026 adalah langkah baik, namun ia mesti membawa penyelesaian sebenar.
“Empat kekosongan Kabinet bukan alasan untuk lengahkan hak Sabah,” tegasnya.
Jerry yakin Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, akan memainkan peranan penting dalam jawatankuasa teknikal MA63. “Sabah sudah terlalu lama bersabar. Kali ini, rakyat mahu keputusan — bukan retorik,” katanya.
