Naratif Ekonomi ‘Tenat’ Era 2018–2020 Satu Penyelewengan Fakta – Azhar

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah menolak dakwaan bahawa ekonomi Sabah ketika parti itu memerintah selama 26 bulan berada dalam keadaan “tenat”, sebaliknya menyifatkan tuduhan itu sebagai naratif politik yang bercanggah dengan rekod rasmi kerajaan persekutuan.

Bendahari Warisan, Azhar Matussin berkata, merujuk data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang menunjukkan bahawa pada 2019 — tahun penuh pertama pentadbiran parti itu — Sabah merekodkan KDNK tertinggi dalam sejarah negeri, iaitu RM85.6 bilion.

Menurutnya, kejatuhan ekonomi pada 2020 berpunca daripada pandemik COVID-19 yang memberi kesan sama kepada seluruh negara, bukan kerana kelemahan dasar kerajaan negeri ketika itu.

Parti itu juga menegaskan bahawa lonjakan hasil negeri yang sering dibanggakan kerajaan GRS hari ini sebenarnya berpunca daripada Cukai Jualan Negeri (SST) Petroleum, yang dirangka, digubal, dan mula dikuatkuasakan oleh pentadbiran Warisan.

“SST petroleum yang bermula 1 April 2020 adalah asas utama yang melonjakkan hasil negeri kepada lebih RM7 bilion, ditambah kenaikan harga minyak global.

“Warisan turut mempersoalkan dakwaan bahawa ekonomi Sabah kini berada dalam fasa “pemulihan.

“Kita merujuk pertumbuhan negeri yang merosot kepada 1.3% pada 2023 dan sekitar 1.2% pada 2024, jauh lebih rendah berbanding negeri-negeri lain.,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhar berkata, Sabah pada 2024 terkeluar daripada kelompok enam penyumbang terbesar KDNK negara, sesuatu yang disifatkan Warisan sebagai tanda kelemahan daya saing ekonomi.

“Dari aspek sosioekonomi rakyat, Warisan berkata Sabah kekal negeri termiskin di Malaysia dengan kadar kemiskinan 17.7%, selain mencatat pengangguran tertinggi negara antara 7.5% hingga 7.7%.

“Warisan turut membidas keputusan kerajaan negeri menarik balik dasar hiliran seperti larangan eksport balak, yang menurut mereka telah mengembalikan Sabah kepada ekonomi berasaskan bahan mentah.

“Warisan menambah bahawa pada 2019, pelaburan pembuatan diluluskan meningkat 84% dalam tempoh sembilan bulan pertama, mencecah RM890.7 juta — yang disifatkan sebagai bukti keyakinan pelabur terhadap dasar perindustrian parti itu sebelum pandemik berlaku,” katanya.

Menurut Azhar, kegagalan sebenar pentadbiran hari ini ialah ketidakmampuan menterjemahkan hasil besar negeri kepada penyelesaian isu asas rakyat.

“Ini termasuk air, elektrik, jalan raya, kos sara hidup dan peluang pekerjaan,” jelasnya.