Dua penggal Merotai ‘tiada hasil’, Liew Yun Fah gesa perubahan

MEROTAI: Bekas Adun Merotai, Liew Yun Fah, mengkritik prestasi pembangkang di kawasan itu yang menurutnya “tertinggal terlalu jauh” sepanjang dua penggal lalu.

Berucap di Kampung Jagung, Merotai, Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) itu berkata Perdana Menteri sendiri turun ke Sabah dan bertemu dengannya, menandakan komitmen kerajaan pusat untuk memacu pembangunan di kawasan tersebut.

“Tetapi PM datang ke Tawau jumpa saya. Merotai tertinggal lama dalam pembangunan. Dua penggal jadi pembangkang… apa yang mereka buat?” katanya, disambut sorakan hadirin.

Liew menegaskan era “menang tapi tak buat kerja” harus dihentikan, dengan 29 November menjadi titik penentu untuk perubahan di Merotai.

“Kita kena bangkit dan lawan. Kerajaan pusat sekarang ialah PH. Beri peluang kepada Datuk Ruji Ubi untuk bawa pembangunan yang sepatutnya diterima sejak dulu,” katanya, merujuk calon PH bagi DUN Merotai.

Walaupun bukan calon, Liew berkata kehadirannya hari ini adalah atas tanggungjawab moral memastikan Merotai tidak terus terabai.

Beliau menekankan keperluan pembangunan berterusan dari Kijang hingga Kampung Jagung, termasuk peluang pekerjaan untuk belia supaya tidak perlu berhijrah.

“Kita mahu anak muda kerja di kampung sendiri, bukan sekadar menunggu janji kosong. Ini masa Merotai bangkit,” katanya.