61.72 Peratus Pengundi Awal Sabah Selesai Mengundi Setakat 11 Pagi – SPR Jangka Cecah 90 Peratus Menjelang 5 Petang

KOTA KINABALU – Sebanyak 61.72 peratus daripada 24,426 pengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 telah selesai mengundi setakat jam 11 pagi, menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun.

Beliau berkata, berdasarkan tren kehadiran pengundi sejak awal pagi, SPR menjangkakan peratusan keluar mengundi itu mampu meningkat sehingga 90 peratus apabila semua 58 pusat pengundian awal ditutup pada jam 5 petang.

“Ini satu peratusan yang tinggi. Terima kasih kepada semua yang telah turun awal dan kita berharap momentum ini berterusan sehingga pusat pengundian awal ditutup,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau hari ini.

Menurut SPR, daripada jumlah keseluruhan pengundi awal, 11,697 adalah anggota tentera dan pasangan, manakala 12,729 ialah anggota polis serta pasangan.

Tinjauan Bernama di beberapa pusat pengundian awal mendapati proses pengundian berjalan lancar walaupun hujan melanda beberapa kawasan.

Di SK Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Panglima Armada Timur TLDM, Laksamana Madya Datuk Khir Junaidi Idris, adalah antara yang selesai mengundi. Komander Esscom, Datuk Victor Sanjos, turut hadir menunaikan tanggungjawab di IPD Lahad Datu.

Beberapa calon yang bertanding juga turun meninjau perjalanan pengundian awal, antaranya calon Barisan Nasional (BN) DUN Karambunai, Datuk Yakub Khan, yang melawat SK Pangkalan TLDM.

Sementara itu, calon Pakatan Harapan (PH) DUN Sri Tanjong, Philip Yap Wui Lip, meninjau proses pengundian di IPD Tawau.

Selepas pengundian awal selesai petang ini, semua kertas undi akan disimpan di lokasi selamat sebelum dibuka dan dikira pada 29 November, iaitu hari pengundian utama PRN Sabah ke-17.