LAHAD DATU: Tiga maut manakala seorang kanak-kanak lelaki cedera parah selepas Toyota Innova yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori treler bermuatan kernel sawit di Jalan Dewata, Pondok Ketam, tengah hari tadi.
Dalam kejadian jam 1.25 petang itu, Innova berwarna putih dari arah Lahad Datu ke Kunak diseret kira-kira 30 meter selepas bertembung dengan lori treler 30 tan yang datang dari arah bertentangan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba Lahad Datu tiba pada jam 1.58 petang dan menemui empat mangsa di dalam kenderaan tersebut.
“Pegawai perubatan mengesahkan tiga mangsa – dua lelaki berusia 56 dan 43 tahun serta seorang wanita berusia 39 tahun – meninggal dunia di lokasi kejadian. Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun cedera parah,” katanya.
Pasukan bomba menggunakan peralatan khas RTA untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum menyerahkan mayat kepada polis untuk tindakan lanjut.
Pemandu lori dilapor selamat dan telah ke balai polis berhampiran sebelum bomba tiba.
Operasi diketuai PBK I Mohammad Akbar Mohambar bersama sembilan anggota dan dua jentera. Punca kemalangan masih dalam siasatan PDRM.
