PRN Sabah: Bolkiah Ismail kembali perjuangkan Pitas, janji terus bawa pembangunan untuk rakyat

PITAS: “Saya kembali bukan kerana jawatan, tetapi kerana tanggungjawab kepada rakyat.”

Itulah tekad Datuk Bolkiah Ismail, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN Pitas.

Bolkiah yang kembali mewarnai pentas politik selepas beberapa tahun menyepi dalam arena politk.

Bagi penduduk Pitas, nama Bolkiah bukanlah asing beliau pernah menjadi wakil rakyat selama tiga penggal, dikenali sebagai pemimpin berjiwa rakyat dan banyak membawa perubahan besar kepada daerah itu.

Ketika memimpin dahulu, Bolkiah berjaya melaksanakan pelbagai projek pembangunan termasuk menaik taraf kemudahan asas, memperkukuh sistem pendidikan dan membuka lebih banyak peluang ekonomi untuk masyarakat luar bandar.

“Usaha itu menjadikan Pitas antara kawasan yang pesat membangun di bawah pentadbiran BN.

“Kini, kita tampil dengan semangat baharu dan sokongan padu daripada Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin,” katanya.

Bolkiah kembali ke gelanggang politik dengan misi jelas — memastikan pembangunan dan kesejahteraan rakyat terus diperkasa.

“Masih banyak yang perlu diteruskan — daripada pembangunan ekonomi, pendidikan hingga kesejahteraan rakyat luar bandar.

“Saya percaya dengan semangat perpaduan rakyat Pitas, kita mampu mengembalikan kegemilangan seperti dulu di bawah Barisan Nasional,” katanya di sini hari ini.

Kehadiran semula Bolkiah disambut positif oleh masyarakat tempatan yang masih mengingati jasa dan kepimpinannya sebelum ini.

Ramai menyifatkan beliau sebagai pemimpin yang dekat di hati rakyat serta memahami keperluan sebenar penduduk luar bandar.

Bagi BN, pencalonan semula Bolkiah dilihat sebagai langkah strategik untuk menawan semula DUN Pitas pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.

Ini sekali gus meneruskan agenda pembangunan dan membawa harapan baharu kepada seluruh rakyat daerah itu.