KOTA BELUD: Seorang wanita warga emas ditemukan rentung selepas rumah tidak kekal yang didiaminya di Kampung Bangkahak Sunsum musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2 pagi sebelum menghantar pasukan dari Balai Bomba Kota Belud ke lokasi sejauh 13 kilometer.
Komander Operasi, PBK II Jasree Mar, memaklumkan bahawa kediaman berkeluasan 50×50 kaki itu terbakar 100 peratus ketika pasukan tiba pada jam 2.14 pagi.
“Semasa operasi pemadaman, pasukan menemukan seorang mangsa wanita dipercayai lingkungan usia 70-an rentung di dalam bilik tidur. Operasi menggunakan satu aliran sepanjang 100 kaki dengan dua pancutan air dari jentera,” katanya.
Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 2.50 pagi, manakala operasi ditamatkan pada jam 5.30 pagi setelah pihak bomba memastikan tiada lagi ancaman di lokasi.
Turut membantu operasi ialah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pihak SESB. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
