PUTATAN: Penyandang kerusi DUN Tanjung Keramat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya mengakui beliau sedang berdepan dilema politik selepas dikatakan bakal disaman Barisan Nasional (BN) sekiranya bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Shahelmey bagaimanapun menegaskan, ruang untuk membuat keputusan masih luas, apatah lagi senario politik yang berubah dari hari ke hari.
“Saya sedar risiko itu dan masih menilai kedudukan saya. Dalam politik, tiga minggu pun sudah cukup lama. Macam-macam boleh berlaku,” katanya ketika ditemui selepas program penyerahan insentif kepada kontinjen Putatan yang mencatat kemenangan dalam Kejohanan SAGA Sabah di Pejabat Daerah Putatan, hari ini.
Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan Shahelmey dan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Surady bakal berdepan tindakan saman RM100 juta jika memilih bertanding atas platform GRS.
Untuk rekod, kedua-duanya telah digantung keahlian selama enam tahun selepas tidak menyokong kepimpinan UMNO Sabah ketika episod Langkah Kinabalu pada 2023.
