Sabah Electricity siap siaga pastikan bekalan elektrik stabil sepanjang PRN Sabah Ke-17

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SE) berada pada tahap kesiapsiagaan penuh bagi memastikan bekalan elektrik di seluruh negeri berjalan lancar sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.

Pengerusinya, Saadiah Aziz, berkata persediaan rapi telah dilakukan sejak beberapa bulan lalu termasuk penyediaan set penjana mudah alih (genset) di semua lokasi penting bagi menghadapi sebarang kemungkinan gangguan bekalan.

“Kita telah menempatkan genset di setiap bahagian utama bagi memastikan bekalan elektrik mencukupi sepanjang tempoh kempen dan proses pilihan raya berlangsung.

Genset turut disediakan di semua lokasi utama termasuk pusat penamaan calon, lokasi pengundian awal, hari mengundi dan pusat penjumlahan undi,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SE, Datuk Mohd Yaakob Jaafar, berkata pihaknya turut berkolaborasi dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi melakukan pemeriksaan awal terhadap sistem pendawaian di semua dewan yang akan digunakan semasa proses pilihan raya.

“Selain genset di 25 lokasi penamaan calon dan pusat penjumlahan undi, SE juga menyediakan lampu kecemasan sebagai langkah tambahan sekiranya berlaku gangguan bekalan.

Hampir 800 anggota kerja SE akan bertugas sepanjang PRN ini dan mereka turut diberi kemudahan mengundi awal agar dapat memberi tumpuan penuh kepada tanggungjawab pada hari pengundian,” katanya.

Beliau menambah, SE yakin pengalaman mengendalikan beberapa pilihan raya sebelum ini membolehkan pasukan mereka lebih bersedia kali ini.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan sistem Simpanan Tenaga Bateri (BESS) di Lahad Datu telah mula beroperasi sejak 12 Jun lalu dan dijangka dilancarkan secara rasmi pada Disember ini.