KOTA KINABALU – Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, meniup semangat baharu kepada seluruh jentera Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, yang kini rasmi bermula selepas pembubaran DUN Sabah.
Beliau menegaskan, perjuangan GRS kini kembali digerakkan dengan semangat #RumahKitaKitaJaga, kerana Sabah bukan sekadar negeri — tetapi rumah yang mesti dijaga dan dipertahankan bersama.
“Kita turun padang dengan satu tekad — memastikan Sabah terus stabil, maju dan bersatu di bawah panji GRS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nizam turut menyeru seluruh jentera agar menghayati empat teras utama perjuangan GRS, iaitu #SabahFirst, #SabahForward, #SabahProsper, dan #SabahUnited, sebagai panduan dalam mendekati rakyat dari rumah ke rumah dan dari hati ke hati.
Menurut beliau, semangat baharu #SabahTanahAirku bukan sekadar slogan politik, tetapi lambang cinta dan kesetiaan terhadap bumi Sabah yang perlu dipelihara bersama.
“Ayuh sahabat seperjuangan, kita gerakkan jentera dengan semangat yang sama seperti dulu. Kita jaga rumah kita. Kita jaga Sabah,” katanya lagi.
Nizam turut menyeru semua penyokong GRS untuk menggunakan tanda pagar rasmi di setiap hantaran media sosial bagi menyemarakkan gelombang perjuangan digital menjelang PRN ini:
