KIULU: Hubungan erat dan matang antara Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan terus membuahkan hasil, membawa kemajuan yang ketara kepada negeri di bawah pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai berkata, pendekatan konsisten dan pragmatik ini telah meletakkan Sabah dalam kedudukan lebih kukuh dalam perbincangan peringkat Persekutuan serta memastikan keperluan rakyat dipenuhi.
Menurut beliau, kejayaan ini bukan berlaku secara kebetulan, tetapi hasil lima tahun kerjasama berterusan, dialog membina, dan kesediaan untuk berunding demi kebaikan bersama.
“Untuk maju bersama, negeri dan Persekutuan perlu saling menghormati dan bekerjasama. Kita tidak boleh terus berpolitik semata-mata tanpa fokus pada pembangunan,” katanya ketika berucap di Kampung Sinulihan, Kiulu.
Joniston merupakan penyandang DUN Kiulu dan Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS), mengingatkan bahawa perbezaan politik tidak seharusnya menjadi alasan untuk perpecahan, sebaliknya rakyat perlu menolak sentimen yang menyesatkan.
Beliau menekankan pentingnya politik yang membina — tahu bila perlu tegas dan bila perlu berunding secara matang demi kepentingan rakyat Sabah.
Dalam pada itu, Joniston turut menyerlahkan peranan PBS dalam mendidik rakyat mengenai hak-hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang telah meningkatkan kesedaran dan kefahaman orang ramai terhadap kedudukan Sabah dalam Persekutuan.
“Sabah sedang bergerak ke arah yang betul. Kita tidak perlu berpatah balik atau bermula semula. Masa depan yang lebih baik menanti jika kita terus bersatu dan berusaha,” tegasnya.
