PRN Sabah: Suhaimi Putar Belit Fakta, Politik Perlu Berasaskan Kebenaran – Nizam

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menolak sekeras-kerasnya dakwaan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, yang menuduh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyalahgunakan kuasa dalam isu Sabah Forest Industries (SFI).

Beliau menyifatkan tuduhan tersebut sebagai berniat jahat serta menggambarkan kejahilan terhadap undang-undang, selain cubaan terdesak menabur fitnah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menurutnya, saman sivil bernilai RM1.4 bilion yang dirujuk oleh Suhaimi adalah prosiding sivil yang masih berjalan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dan bukannya sabitan jenayah seperti digambarkan.

“Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh telah menjelaskan bahawa dakwaan itu bukan sahaja remeh dan menyusahkan.

“Malah tidak berasas kerana ia melibatkan litigasi yang sedang berlangsung antara pihak-pihak berkenaan,” katanya dalam satu kenyataanphar8 ini.

Katanya, Kerajaan Negeri akan mengemukakan pembelaan menyeluruh dan yakin kebenaran akan terbukti apabila proses undang-undang selesai.

Beliau turut mendakwa, hakikat yang cuba disembunyikan oleh Suhaimi ialah kemelut sebenar SFI berpunca daripada pentadbiran Warisan pada tahun 2018, dan bukannya di bawah kerajaan pimpinan Hajiji.

“GRS menegaskan bahawa SFI ialah syarikat swasta di mana kerajaan negeri hanya memegang dua peratus saham.

“Semua urusan gaji dan operasi tertakluk kepada undang-undang buruh serta tanggungjawab majikan, bukannya kerajaan negeri,” ujarnya.

Nizam menegaskan, kenyataan Suhaimi hanyalah cubaan murahan untuk menakut-nakutkan rakyat dan mengalih perhatian daripada kegagalan UMNO menjaga kepentingan rakyat Sabah.

“Politik fitnah tidak akan membina negeri ini. Rakyat kini cukup matang menilai siapa yang benar-benar bekerja dan siapa yang sekadar menabur dusta demi kepentingan peribadi,” katanya.