Polis Marin Gagalkan Sindiket Seludup Minyak di Tawau

TAWAU: Cubaan enam individu termasuk seorang warga asing menyeludup minyak diesel subsidi gagal apabila kegiatan mereka dihidu Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah dalam satu serbuan di Kampung Pasir, malam tadi.

Dalam operasi jam 10.30 malam itu, anggota Unit Risikan Marin menyerbu sebuah stor yang dijadikan tempat penyimpanan dan pemindahan minyak sebelum menahan kesemua suspek berusia antara 27 hingga 48 tahun.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata, hasil pemeriksaan menemui pelbagai peralatan serta kenderaan digunakan untuk aktiviti berkenaan.

“Turut dirampas ialah satu lori tanker, tiga kenderaan, satu skid tank, tiga tangki fiber serta kira-kira 14,000 liter minyak diesel dipercayai disimpan untuk tujuan penyelewengan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM615,920 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Mohd Nazri berkata, kejayaan itu hasil tindakan pantas pasukan risikan serta kerjasama anggota operasi yang sentiasa memantau kegiatan penyeludupan di perairan dan daratan Sabah.

“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebat operasi bagi mengekang penyeludupan dan penyelewengan minyak subsidi yang menjejaskan ekonomi negara,” katanya.

Beliau turut menggesa orang awam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan bagi membantu pihak berkuasa memastikan keselamatan serta hasil negara terus dilindungi.