PRN Sabah: PGRS Sindumin Tegas: Kerusi DUN Milik GRS, Sokong DDYY Sebagai Calon

SIPITANG: Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Sindumin menegaskan bahawa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin mesti kekal ditandingi oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 akan datang.

Setiausaha PGRS Bahagian Sindumin, Alfred Daniel @ Stanley berkata, pendirian itu diputuskan sebulat suara dalam mesyuarat bahagian yang dihadiri pimpinan serta ahli akar umbi semalam.

“Kami berdiri teguh menyatakan bahawa kerusi DUN Sindumin mesti ditandingi oleh GRS tanpa sebarang kompromi atau campur tangan luar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mesyuarat itu juga sebulat suara menyokong Datuk Dr. Yusof Yacob (DDYY) sebagai calon GRS bagi kerusi berkenaan, berdasarkan rekod cemerlang serta komitmen beliau terhadap kebajikan rakyat setempat.

“DDYY telah membuktikan kepimpinan yang berjiwa rakyat dan sentiasa mendahulukan komuniti Sindumin. Beliau calon terbaik untuk meneruskan kesinambungan pembangunan dan kestabilan politik di kawasan ini,” ujar Alfred.

Beliau turut menolak sebarang percubaan membawa calon luar atau parti lain untuk bertanding di kerusi itu.

“Sindumin bukan medan percubaan. Akar umbi sudah lama bersama GRS dan kami akan pertahankan kerusi ini habis-habisan,” tegasnya.

Menurut Alfred, PGRS Bahagian Sindumin kekal bersatu dan tidak akan berundur dalam perjuangan mempertahankan hak GRS di DUN N35.

“Ini keputusan akar umbi, ini suara rakyat Sindumin,” katanya.