TAWAU: Kontinjen Penampang mengungguli acara karate dalam Temasya Sukan Sabah (SAGA) XI 2025 selepas meraih lima pingat emas, tiga perak dan tujuh gangsa.
Kemenangan itu diperoleh menerusi acara Kumite Bawah 75 kilogram Lelaki, Kumite Bawah 84 kilogram Lelaki, Kata Individu Wanita, Kumite Bawah 68 kilogram Wanita, serta Kumite Berpasukan Wanita.
Kejayaan berkenaan sekali gus menobatkan Penampang sebagai juara keseluruhan acara karate tahun ini.
Kontinjen Kota Kinabalu pula di tempat kedua dengan kutipan empat emas dan satu perak, manakala Beaufort di tempat ketiga selepas meraih dua emas, dua perak dan satu gangsa.
Majlis penyampaian hadiah berlangsung di Dewan Ixora, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tawau pada Ahad.
Dalam pada itu, empat anugerah khas turut disampaikan iaitu Kata Terbaik Lelaki dan Wanita yang dimenangi atlet Kota Kinabalu, Alvince Zurizal dan Nur Rasyiqah Fari’ah Razmi.
Sementara itu, Kumite Terbaik Lelaki dan Wanita pula masing-masing dimenangi atlet Beaufort, Khairil Iman Ahmat Hamzah, serta atlet Tambunan, Adeola Fay Robert.