SAGA XI: Futsal buat pertama kali dipertandingkan dalam Sukan Sabah

TAWAU: Acara futsal dipertandingkan dalam temasya Sukan Sabah (SAGA XI), sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh pembangunan sukan itu di negeri ini.

Pengarah Pertandingan Sukan Futsal SAGA XI, Mohamad Mizan Rashidi, berkata sebanyak 19 pasukan lelaki dan 16 pasukan wanita menyertai pertandingan yang bermula hari ini dan akan berlangsung hingga 16 Oktober ini.

Mohamad Mizan Rashidi

Katanya, penyertaan tinggi bagi edisi sulung ini membuktikan sukan futsal semakin mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat, terutama generasi muda.

“Ini kali pertama acara futsal disenaraikan sebagai acara rasmi dalam Sukan Sabah. Diharap penganjur akan terus mengekalkan acara ini pada edisi seterusnya kerana ia memberi ruang kepada pemain muda menyerlahkan potensi mereka ke peringkat lebih tinggi,” katanya ketika di sini semalam.

Beliau berkata, pusingan awal acara futsal bermula hari ini manakala peringkat kalah singkir dijadual diadakan di gelanggang SG Futsal dari 14 hingga 16 Oktober.

Selain futsal, temasya berkenaan turut menampilkan acara lain termasuk sepak takraw yang dijangka berakhir pada 15 Oktober serta bola jaring di Tawau Futsal Centre membabitkan lapan pasukan termasuk Kota Kinabalu, Ranau, Keningau, Sandakan, Tawau, Kota Marudu dan Sipitang.

Sukan Sabah (SAGA XI) menjadi platform penting kerajaan negeri dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet pelapis serta memperkukuh pembangunan sukan di peringkat daerah.