KOTA KINABALU – Keaktifan atau populariti semata-mata bukan jaminan untuk memenangi pilihan raya, sebaliknya kekuatan jentera bergantung kepada disiplin, strategi dan fokus terhadap matlamat utama.
Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Darau, Datuk Mohamed Razali Razi berkata, pendekatan tersusun dan kerja berpasukan adalah kunci kepada kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kawasan itu.
Menurutnya, pilihan raya hanya datang lima tahun sekali dan jika terlepas peluang, ia adalah satu kerugian besar kepada parti. Justeru, beliau menyeru semua jentera untuk memberikan sepenuh tumpuan demi memastikan kemenangan GRS.
Beliau turut mengingatkan jentera agar tidak terlalu selesa dengan pujian atau gelaran sebagai parti paling aktif kerana apa yang lebih penting ialah undi sebenar yang diperoleh di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM).
Razali menegaskan bahawa usaha mendekati pengundi belum cukup meluas dan kempen akar umbi perlu dipergiatkan lagi, termasuk memanfaatkan pertemuan tidak rasmi seperti di kedai kopi untuk menarik sokongan.
Katanya, semua gerak kerja mesti dilaksanakan secara tersusun mengikut arahan Pengarah Pilihan Raya Bahagian supaya usaha yang digerakkan tidak sia-sia dan mencapai sasaran.
Antara kawasan tumpuan yang dikenal pasti sebagai benteng kekuatan Gagasan Rakyat di Darau ialah Kampung Likas, Bangka-Bangka, Rampayan, Darau, Kalansanan, Warisan dan Kemberian.
Beliau turut menasihatkan jentera agar tidak mudah terpengaruh dengan propaganda media sosial, sebaliknya turun padang menyantuni rakyat kerana kekuatan sebenar terletak pada keikhlasan perjuangan dan keberkatan daripada Allah SWT.