RANAU: Tindakan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Bahagian Kuamut menegaskan sokongan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) menarik perhatian ramai, selepas Presidennya, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, mengumumkan keluar daripada gabungan itu.
Ketua Bahagian STAR Kuamut, Mandik Yadam, berkata keputusan tersebut dibuat secara sebulat suara oleh ahli jawatankuasa bahagian dalam mesyuarat khas yang diadakan pada Sabtu lalu.
Menurutnya, walaupun menghormati pendirian Presiden parti, STAR Kuamut berpegang teguh untuk terus bersama GRS kerana gabungan itu telah banyak membantu membina kestabilan politik dan pembangunan di kawasan Kuamut serta daerah Tongod.
“Kami sepakat untuk kekal bersama GRS dan memberi sokongan penuh kepada calon yang bertanding atas tiket gabungan ini. Dalam konteks Kuamut, kami memilih untuk berdiri di belakang Datuk Masiung Banah,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat GRS Bahagian Kuamut di sini, semalam.
Mesyuarat berkenaan turut dihadiri Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Masum Takin, Ketua Bahagian Usno James Aik, serta Pengerusi GRS Kuamut yang juga Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah.
Mandik yang juga Timbalan Pengerusi GRS Kuamut menegaskan, pihaknya telah membuat keputusan untuk tidak meletakkan calon STAR di Kuamut bagi memastikan GRS mengekalkan kemenangan besar di kawasan itu.
“Kerjasama politik yang dibina selama hampir lima tahun ini tidak wajar digugat. Datuk Masiung menjadi kunci utama perancang pembangunan di Tongod, dan kami tidak akan mengkhianati perjuangan yang belum selesai,” tegasnya.
Langkah STAR Kuamut ini dilihat bukan sekadar perbezaan pendapat dalam parti, sebaliknya isyarat jelas bahawa tindakan tergesa-gesa Dr Jeffrey keluar GRS berpotensi melemahkan kekuatan politik STAR di peringkat akar umbi.
