2 Warga China Ditahan Ugut Ada Bom Dalam Pesawat

TAWAU: Dua lelaki warganegara China ditahan polis selepas disyaki menghantar emel ugutan palsu mendakwa terdapat bom dalam sebuah pesawat yang dijadual berlepas dari Lapangan Terbang Tawau ke Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Asisten Jasmin Hussin, berkata kedua-dua suspek berusia 28 dan 29 tahun itu ditahan di sebuah hotel di Semporna kira-kira jam 8 malam hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Tawau dengan kerjasama IPD Semporna.

“Siasatan awal mendapati salah seorang suspek mengaku menghantar mesej ancaman itu melalui aplikasi rasmi syarikat penerbangan berkenaan. Dia mendakwa tujuannya adalah untuk mempercepatkan proses menukar tempat duduk penerbangan mereka ke Kuala Lumpur sebelum transit ke Beijing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, suspek mendakwa membaca di sebuah portal di China bahawa tindakan mengeluarkan kenyataan ancaman boleh mempercepatkan maklum balas daripada syarikat penerbangan.

Jasmin berkata, emel ugutan itu dihantar ke ibu pejabat syarikat penerbangan terbabit di Kuala Lumpur pada jam 11.30 malam, 20 September lalu, sebelum dimaklumkan kepada pihak keselamatan syarikat di Lapangan Terbang Tawau.

“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek menggunakan sebuah telefon bimbit yang turut dirampas bagi membantu siasatan. Kedua-dua suspek kini direman dan disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Beliau berkata, Konsulat China telah dimaklumkan mengenai penahanan itu dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Tegasnya, polis memandang serius sebarang bentuk ancaman keselamatan yang boleh mencetuskan panik awam, terutama membabitkan penerbangan komersial.