LAHAD DATU: Sebanyak sembilan individu ditahan dalam operasi bersepadu yang dilaksanakan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) di beberapa kampung sekitar Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone), awal pagi semalam.
Komander ESSCOM, Komisioner Polis Datuk Victor Sanjos berkata, operasi yang dijalankan bermula jam 1.30 pagi hingga 7 pagi itu melibatkan kawasan Kampung Tanjung Labian hingga Kampung Tanjung Batu.
“Sebanyak 83 rumah diperiksa dan seramai 463 individu telah diperiksa. Daripada jumlah itu, sembilan individu ditahan atas kesalahan di bawah Akta Imigresen.
“Kesemua mereka diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.
Beliau berkata, operasi itu turut melibatkan 151 pegawai dan anggota dari pelbagai agensi penguat kuasa, termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Selain itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta Polis Bantuan FELDA,” katanya.
Menurutnya, operasi bersepadu itu memberi mesej jelas bahawa pasukan keselamatan tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan menggugat keamanan di kawasan timur Sabah.
“Rakyat perlu tahu bahawa mereka sentiasa dilindungi. Pada masa sama, ini juga amaran kepada pihak yang cuba menggugat ketenteraman – mereka sedang diperhatikan dan tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang,” tegasnya.
Victor turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat, khususnya ATM dengan kehadiran Komander Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2), Brigedier Jeneral Abdul Munir Haji Abdul Rani sepanjang operasi dijalankan.
“ESSCOM akan meneruskan operasi seperti ini dari semasa ke semasa di seluruh ESSZone bagi memastikan keselamatan awam terus terjamin,” katanya.
Beliau turut menggesa masyarakat agar menjadi “mata dan telinga” pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan keselamatan ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau menerusi WhatsApp di nombor 011-63311072.