KENINGAU: Mayat seorang petugas Sabah Electricity (SESB) yang hilang dihanyutkan arus deras sejak Isnin lalu akhirnya ditemui pada Khamis petang di Sungai Kampung Liau Laut di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Penolong Kanan Penguasa Bomba Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui berkata, mayat lelaki berusia 35 tahun itu ditemui kira-kira jam 6.18 petang oleh pasukan pencari Galen Star.
“Lokasi penemuan berada sejauh 21 kilometer dari kawasan mangsa dilaporkan hilang di Kampung Nuntunan, Apin-apin pada 16 September lalu.
“Mangsa bersama dua lagi rakan sekerja cuba menyeberangi jambatan namun dihanyutkan arus deras. Dua rakannya berusia 24 dan 38 tahun berjaya menyelamatkan diri,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari ketiga turut menumpukan pencarian di sekitar Kampung Linsudan selepas penemuan kasut mangsa di kawasan sungai berkenaan.
Katanya, operasi yang bermula jam 9 pagi membabitkan sembilan anggota bomba dengan bantuan polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.Mayat petugas SESB ditemui selepas tiga hari operasi SAR.