Perpaduan Teras Kemajuan Negara – Musa Aman

KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, menegaskan bahawa perpaduan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya perlu terus diperkukuh bagi menjamin kestabilan dan kemajuan negara.

Dalam perutusan sempena sambutan Hari Malaysia ke-62, Musa berkata, pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 adalah hasil semangat perpaduan, persefahaman dan visi bersama antara Malaya, Sabah dan Sarawak.

“Malaysia dikurniakan kepelbagaian kaum, budaya dan agama yang kaya. Kepelbagaian ini tidak seharusnya menjadi punca perpecahan, sebaliknya menjadi kekuatan yang menyatukan kita,” katanya.

Beliau turut menegaskan peranan besar Sabah dan Sarawak dalam pembentukan negara, khususnya dalam menjamin kestabilan politik, pertumbuhan sosioekonomi serta menyumbang kepada kepelbagaian budaya Malaysia.

Pembangunan Sabah Perlu Diperkasa

Musa turut mengakui masih banyak usaha perlu dilaksanakan bagi merapatkan jurang pembangunan di Sabah.

“Sabah yang lebih kuat akan menjadikan Malaysia lebih kukuh. Pembangunan mesti sampai ke setiap pelosok negeri agar tiada siapa yang tertinggal,” katanya.

Tolak Fanatik Perkauman, Politik Sempit

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa sikap fanatik perkauman atau keagamaan tidak seharusnya wujud sekiranya Malaysia ingin terus maju sebagai sebuah negara berbilang kaum.

Beliau menyifatkan Sabah sebagai contoh terbaik keharmonian antara pelbagai etnik yang hidup dalam suasana aman dan saling menghormati.

Musa turut menyeru semua pemimpin politik supaya mengenepikan kepentingan sempit dan tidak menimbulkan perpecahan demi kepentingan politik.

“Sebaliknya, pemimpin harus memberi tumpuan kepada idea bernas, penyelesaian praktikal dan dasar-dasar yang mampu memperkasa rakyat,” tegasnya.

Takziah Mangsa Banjir, Tanah Runtuh

Dalam perkembangan lain, beliau dan isteri, turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa banjir dan tanah runtuh akibat hujan berterusan di beberapa kawasan di Sabah yang mengorbankan nyawa dan menyebabkan kerosakan harta benda.

“Dalam masa sukar ini, saya menyeru komuniti yang terjejas agar berwaspada dan mematuhi nasihat pihak berkuasa.

“Marilah kita bersama-sama menghulurkan bantuan agar proses pemulihan dapat dilaksanakan dengan semangat ketabahan dan gotong-royong,” katanya.

Komitmen Terhadap Solidariti

Musa mengakhiri perutusannya dengan menyeru rakyat memperbaharui komitmen terhadap solidariti, keadilan dan kemakmuran.

“Bersama-sama, dengan saling menghormati dan tujuan yang dikongsi bersama, kita akan terus membina sebuah Malaysia yang aman, progresif dan tidak mudah goyah,” katanya sambil mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat.