Van bertembung ambulans, seorang maut, 11 parah

KINABATANGAN: Seorang maut manakala 11 lagi cedera parah selepas van dinaiki bertembung dengan sebuah ambulans di Jalan Paris 2, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 10.25 pagi itu, kemalangan membabitkan van jenis Foton View dengan sebuah ambulans yang mengakibatkan 12 individu terperangkap.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, seramai lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.

“Pasukan penyelamat mengeluarkan lapan mangsa dari van Foton View dan empat mangsa dari ambulans.

“Seorang daripada penumpang ambulans disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi.

“Sebelas lagi mangsa termasuk pemandu kedua-dua kenderaan mengalami kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, operasi menyelamat diketuai Mohd Nor Azmer Bin Mat Shor Nasir sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.50 pagi selepas semua mangsa berjaya dikeluarkan dan kawasan disahkan selamat.