KOTA KINABALU: Sambutan Hari Malaysia peringkat negeri Sabah yang dijadualkan berlangsung di Padang Merdeka pada malam esok dibatalkan susulan bencana banjir akibat hujan berterusan yang melanda beberapa daerah.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata keputusan itu dibuat bagi memberi keutamaan kepada usaha pengurusan bencana dan pemulihan di kawasan terjejas.
“Keutamaan Kerajaan Negeri ketika ini adalah untuk mengurus krisis, menyelaras usaha pemulihan serta memastikan operasi menyelamat dilaksanakan segera bagi komuniti yang terkesan.
“Dalam situasi sukar ini, kebajikan dan keselamatan rakyat adalah paling utama. Segala fokus dan sumber perlu ditumpukan kepada mereka yang terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hajiji turut memaklumkan perkara itu kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Menurutnya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong, telah digerakkan dan kini dalam mesyuarat bagi memantau situasi serta menyelaras tindakan segera di daerah-daerah terlibat.
Beliau turut mengarahkan semua pihak berkaitan untuk berada dalam keadaan bersiap siaga memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu masih berterusan.
Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai agar terus berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan memberi kerjasama penuh kepada pasukan penyelamat di lapangan.
