Tanah Runtuh Bukit Cendera Kasih: 1 Maut, Operasi SAR Diteruskan

KOTA KINABALU: Insiden tanah runtuh di Bukit Cendera Kasih, Kg Cendera Kasih, meragut nyawa seorang mangsa manakala 10 lagi terlibat dalam kejadian yang menghempap sebuah rumah di kawasan tersebut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan diterima pada jam 10.02 pagi sebelum pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas bersama Unit K9 bergegas ke lokasi kejadian yang terletak hanya tiga kilometer dari balai.

Katanya, pasukannya tiba di lokasi pada jam 10.24 pagi dan mendapati rumah penduduk telah ditimbus tanah runtuh

“Seramai 11 mangsa dilaporkan terlibat. Empat daripadanya berjaya menyelamatkan diri, manakala seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, operasi  mencari dan menyelamat (SAR) kini sedang giat dijalankan bagi mengesan baki mangsa lain.

“Pasukan operasi diketuai PBK I Wilfred Sulai dengan kekuatan 18 anggota dan dibantu oleh agensi lain termasuk PDRM (10 anggota), APM (3 anggota) serta KKM (4 anggota).

“Setakat ini, operasi masih diteruskan dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa oleh JBPM Sabah,” jelas kenyataan itu.