TAWAU: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menegaskan bahawa pelbagai usaha reformasi telah digerakkan sejak Kerajaan Perpaduan MADANI mengambil alih pentadbiran negara, termasuk di Sabah.
Menurutnya kerjasama erat antara kepimpinan PKR dan parti-parti gabungan di negeri ini merupakan langkah penting dalam memastikan kestabilan politik terus terpelihara.

“Siri jelajah ini bertujuan menggerakkan jentera pilihan raya PKR di peringkat cabang, selain memperkukuh pakatan strategik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam bersama komuniti perniagaan dan pemimpin masyarakat Tionghua Tawau di sini semalam.
Majlis tersebut turut dihadiri Naib Presiden PKR merangkap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri, Datuk Peto Galim; Exco Kerajaan Negeri Pahang, Sim Chon Siang; Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin serta bakal calon PKR bagi kerusi DUN Merotai, Datuk Ruji Ubi.

Nurul Izzah berkata, turut menyatakan bahawa interaksi secara langsung bersama usahawan dan pemimpin masyarakat tempatan mampu meningkatkan pemahaman terhadap dasar-dasar prihatin yang dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI.
“Melalui pertemuan seperti ini, rakyat berpeluang menyuarakan permasalahan yang mereka hadapi secara terus,” katanya lagi.
Beliau merupakan anak kepada Perdana Menteri, merangkap Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut memberi jaminan bahawa misi pembangunan “Memperkasa Sabah” akan terus diperjuangkan.

“Ini termasuk meneruskan pelaksanaan Peruntukan Khas Sabah yang mula diperkenalkan pada tahun 2024.
“Inilah semangat di sebalik slogan ‘Sabah Maju Bersama MADANI, Semporna Makmur Bersama MADANI’, yang mencerminkan komitmen kerajaan dalam membina Sabah yang lebih sejahtera,” ujarnya.
Sementara itu, wakil kepada penaja majlis, Ben Lo Teck Yong berkata, kehadiran Nurul Izzah ke Tawau membantu masyarakat perniagaan Tionghua memahami dasar-dasar kerajaan dengan lebih jelas.
Turut hadir, Pengerusi Pilihan Raya Bersama PKR Sabah, Abdul Razak Jamil; Bendahari Jawatankuasa Pilihan Raya PKR Sabah, Datuk Nordin Ening; Ketua Cabang PKR Tawau, Fung Thin Yein dan Ketua Cabang PKR Kalabakan, Albani Najawi.
