KOTA KINABALU: Gangguan bekalan elektrik yang melanda daerah Sandakan telah dipulihkan sepenuhnya pada jam 3.11 petang, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn Bhd, Datuk Mohd Yaakob Jaafar berkata, pemulihan dilakukan secara berperingkat bermula Sabtu lalu selepas berlaku gangguan pada talian penghantaran 275kV Kolopis-Segaliud.
Beliau berkata, punca gangguan dikenal pasti berpunca disebabkan keadaan tanah runtuh yang menyebabkan tiang menara di Kampung Sarapung tergelincir, sekali gus menjejaskan penghantaran elektrik.
“Daerah lain yang turut terjejas termasuk Lahad Datu, Kinabatangan, Kunak, Semporna dan Beluran.
“Sebagai langkah segera, Sabah Electricity telah menggerakkan 27 unit genset ke lokasi strategik seperti hospital, balai polis, balai bomba dan klinik kesihatan di kawasan terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Yaakob berkata, sistem pemulihan kecemasan (ERS) akan dipasang bagi menggantikan tiang menara yang tumbang.
“Kontena ERS telah tiba di lokasi pada jam 2.00 petang hari ini dan kerja pemasangan akan dijalankan segera.
“Sabah Electricity mengucapkan terima kasih kepada semua pengguna atas kesabaran dan memohon maaf atas kesulitan yang berlaku,” katanya.
Dalam tempoh sama pihaknya turut memberi penghargaan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan Kerajaan Negeri atas sokongan yang diberikan.
