KOTA KINABALU: Gangguan bekalan elektrik besar-besaran melanda kawasan pantai timur Sabah sejak semalam mencetus kebimbangan ramai sehingga Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, mengadakan mesyuarat tergempar di Sri Gaya di sini hari ini.
Beliau menegaskan agar keselamatan menjadi keutamaan walaupun tekanan untuk pulihkan bekalan amat tinggi.

“Kita faham rakyat marah, tapi saya juga mahu semua petugas berhati-hati.
“Dalam keadaan cuaca tidak menentu boleh mencetus bahaya lebih besar sekiranya keselamatan tidak diutamakan,” katanya.
Hajiji turut mengarah SESB memberi maklumat berkala kepada orang ramai, agar rakyat mengetahui perkembangan semasa sekali gus tidak menimbulkan masalah di kawasan yang terjejas.
Beberapa kawasan yang terputus bekalan elektrik sejak semalam menanti jawapan untuk langkah penyelesaian dalam tempoh terdekat.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Sabah Electric (SESB) Mohd Yusmanizam Mohd Yusof berkata, kejadian itu berpunca daripada menara utama 275kV Kolopis – Segaliud yang tumbang dilanda tanah runtuh di Kampung Sarapung, Penampang.
“Ini bukan kerosakan biasa. Ini insiden besar melibatkan struktur utama.
“Pasukan khas krisis telah dihantar ke lokasi dan kerja-kerja pembaikan sedang giat dijalankan. Jika cuaca mengizinkan, bekalan dijangka pulih dalam tempoh dua hari,” katanya.
