TUARAN: Siasatan awal polis mendapati kenderaan pelbagai guna (MPV) yang terbabit dalam nahas mengorbankan lima penuntut Institut Kemahiran MARA (IKM) di Jalan Gayang, semalam.
Ia dipercayai dipandu laju sebelum hilang kawalan dan merempuh sebuah lori membawa muatan batu.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Supt Noraidin Ag Maidin berkata, MPV dinaiki mangsa dari arah Kota Kinabalu menuju Kota Belud dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.
“Keadaan itu menyebabkan MPV berkenaan bertembung dengan lori membawa muatan batu dari arah Tuaran menuju Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, semua mangsa yang tersepit di dalam kenderaan berjaya dikeluarkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tuaran sebelum mayat mereka dihantar ke Hospital Tuaran untuk bedah siasat.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan setakat ini polis telah merakam percakapan beberapa individu bagi membantu siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Tuaran, Inspektor Haffiz di talian 011-61600964 atau tampil ke balai polis berhampiran,” jelasnya.
Dalam kejadian jam 2.09 petang semalam, lima penuntut lelaki berusia lingkungan 20-an maut di lokasi selepas MPV dinaiki mereka bertembung dengan treler.
