KOTA KINABALU: Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 mencatat pencapaian 94 peratus sepanjang 2024, membuktikan usaha kerajaan negeri berada di landasan tepat membawa pembangunan seimbang kepada rakyat.
Ketua Penyelaras Sekretariat SMJ, Datuk Rosmadi Datu Sulai berkata, kejayaan itu tidak hanya terletak pada projek fizikal, tetapi juga hasil penekanan kepada pembangunan modal insan.
“Apapun yang kita rancang tak akan tercapai tanpa sumber manusia berilmu dan terpimpin,” katanya selepas menyerahkan laporan pencapaian SMJ 2024 kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman.
Laporan SMJ 1.0 merekodkan perbelanjaan RM848.26 juta bagi biasiswa dan program pendidikan sejak 2021. Tahun 2025 pula, kerajaan negeri menambah RM485 juta untuk inisiatif sama, menjadikan jumlah keseluruhan mencecah RM1.33 bilion.
SMJ 2.0 dijangka meneruskan momentum positif ini dengan hala tuju lebih fokus kepada modal insan sebagai enjin utama pembangunan Sabah.