KOTA KINABALU :Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud menyuarakan rasa kesal terhadap tuduhan yang cuba mengaitkannya bersama isteri dalam kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.
Menurutnya, tuduhan berkenaan dikeluarkan semasa perbahasan Rang Undang-Undang Pendidikan.
“Masa perbahasan Rang Undang- Undang Pendidikan, ada juga Ahli Parlimen yang antaranya merupakan peguam cuba mengaitkan saya dengan kes Allahyarhamah anakanda Zara Qairina.
“Seolah-olah saya berperanan sebagai VVIP yang cuba melindungi individu2 yang terlibat dalam kes ini terutama isteri saya yang sudah pun membuat penafian dan disiarkan dalam media utama dan sosial,” katanya dalam hantaran di laman Facebook malam tadi.
Mustapha turut mempersoalkan tindakan individu berkenaan yang disifatkannya berpengalaman luas sebagai peguam dan pernah memegang jawatan menteri, namun tetap menggunakan maklumat yang didakwanya berunsur fitnah.
“Saya cabar beliau untuk membuat kenyataan di luar Parlimen. Berani kerana benar, takut kerana salah,” katanya.
Dalam pada itu, Mustapha juga menzahirkan harapan agar pihak berwajib dapat merungkai kes tersebut seterusnya memberi keadilan kepada keluarga mangsa.
Semalam, Datin Rosnih Nasir merupakan bekas pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan mengeluarkan kenyataan menafikan pembabitan dalam tragedi mengorbankan pelajar sekolah itu.
Rosnih menjelaskan sudah bersara dan tidak terbabit dalam sebarang urusan pentadbiran sekolah ketika insiden berkenaan.
Beliau berkhidmat sebagai Pengetua SMKA Tun Datu Mustapha dari 10 Mac hingga 22 November tahun lalu sebelum bersara daripada perkhidmatan.