MUIS Bantu Selaras Pensijilan Halal PMKS Sabah – Mohd Arifin

KOTA KINABALU : Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) akan membantu menyelaras pensijilan halal bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Sabah.

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, satu perbincangan bersama lebih 25 agensi yang terlibat dengan PMKS telah dibuat bagi menyelaraskan pensijilan halal bagi sektor tersebut.

Katanya, hari ini MUIS Halal Hab menganjurkan program perbincangan melibatkan lebih 25 agensi dan lebih 50 peserta.

“Ini khusus membincangkan berkaitan pentingnya koordinasi iaitu penyelarasan antara agensi-agensi ini dan di bawah penyelarasan MUIS. 

“Kita akan selaras di bawah MUIS dari sudut untuk mendapatkan pensijilan, kedua untuk mendapatkan latihan, ketiga untuk memantapkan lagi usahawan-usahawan di Sabah,” katanya

Mohd Arifin berkata, diaamping itu akan mewujudkan pangkalan data sekali gus diselaras di bawah kementeriannya melalui Jabatan Perkhidmatan Komputer.

“Kita akan berusaha mendigitalkan kerja-kerja mendapatkan kesedaran halal, memberikan latihan halal, termasuk mendapatkan proses, mendapatkan pensijilan halal dan ini akan diselaraskan oleh MUIS Halal Hab.

“Ini tiga perkara yang saya lihat sangat penting pertama koordinasi, kedua usaha untuk memudahkan pensijilan dan ketiga pangkalan data tentang Halal Hab,” jelas Mohd Arifin.

Menurutnya, beliau turut mengingatkan kesedaran mengenai pentingnya pensijilan halal dan proses memperolehnya yang mudah sekiranya pengusaha tahu caranya yang betul.

“Kedua, tentang bagaimana kita memberi mereka jalan mudah mendapatkan pensijilan halal yang sebenarnya mudah tapi kerana kita tidak tahu, maka jadilah urusannya sukar sedikit.

“Kita yakin ini boleh diselaraskan bersama-sama dalam apa-apa usaha berhubung dengan halal ini sesuai dengan enakmen MUIS sebagai badan yang bertanggungjawab bersama-sama JAKIM serta agensi-agensi yang lain,” kata Mohd Arifin.