KOTA KINABALU : Solidariti pemimpin dan ahli Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) terhadap Presiden STAR Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan tetap teguh biar tercalit dengan pelbagai fitnah.
Pengerusi Tetap STAR Labuan Jafery Jomion berkata, perjuangan Jeffrey sebagai seorang pemimpin Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang tulen tidak mudah mengalah dalam apa juga bentuk tekanan dan kutukan daripada pelbagai pihak.
Menurutnya, biarpun terus difitnah terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) tidak lama lagi, solidariti terhadap Jeffrey terus berdiri teguh tanpa berbelah bahagi.
Malah katanya, semangat pejuang 1985, 1986 baharu bermula dan bakal kembali.
“Saya terpanggil untuk memberikan respon susulan laporan media yang cuba mengaitkan Presiden STAR dengan dakwaan berkaitan dana politik yang bersangkut dengan industri perlombongan di Sabah.
“Sebagai mantan pemimpin reformasi negeri Sabah dari awal 2001 dan pejuang awal STAR pada 2013 sehingga hari ini, saya berdiri teguh mempertahankan integriti dan maruah presiden kami yang sudah lama menjadi suara tulen perjuangan rakyat Sabah dalam semangat MA63.
“Presiden kami adalah simbol keteguhan prinsip yang mengangkat suara Sabah ke peringkat nasional dengan keberanian yang jarang dimiliki oleh mana-mana tokoh politik, walaupun terpaksa berkorban dalam penjara selama dua tahun tujuh bulan hanya kerana politik dan perjuangan hak Sabah.
“Sehubungan itu, tuduhan tanpa bukti yang tular ketika ini hanyalah sebahagian dari percaturan politik yang mahu melemahkan semangat perjuangan yang beliau pelopori dari awal 80an,” jelasnya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, kepimpinan Jeffrey bukan muncul sehari dua, tetapi Timbalan Ketua Menteri itu sudah melalui ujian masa, tekanan, dan pengorbanan peribadi.
Pihaknya akan terus menolak sebarang cubaan untuk menjatuhkan kewibawaan Jeffrey melalui permainan persepsi dan tuduhan yang belum dibuktikan secara sah.
Menurutnya, Malaysia adalah sebuah negara berdaulat yang menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang. Justeru, proses penyiasatan harus diserahkan kepada pihak berkuasa tanpa gangguan politik atau tekanan media tertentu.
“Saya juga percaya rakyat Sabah secara keseluruhannya cukup bijak untuk menilai. Mereka tahu suara yang tegas dan konsisten seperti presiden kami adalah ancaman kepada sistem politik lama yang tidak lagi relevan. Maka tidak hairan jika usaha fitnah ini datang dari pelbagai penjuru.
“Kami di STAR akan terus berdiri bersatu, bukan kerana taksub kepada individu, tetapi kerana yakin kepada dasar, perjuangan dan prinsip.
“Kepimpinan yang berpaksikan rakyat tidak mudah tumbang oleh ribut persepsi. Kami percaya, yang benar akan tetap benar walau bersendirian dan yang salah tetap salah walau disokong lautan manusia,” katanya.
