KPN Mohd Khalid Tidak Pernah Jadi Ahli PKR – Fuziah

KUALA LUMPUR : Ketua Polis Negara yang baharu, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, tidak pernah menjadi ahli PKR, apatah lagi memegang sebarang jawatan dalam parti itu seperti yang disiarkan dalam media sosial sebuah akhbar tempatan, semalam.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh yang menegaskan penyebaran profil salah dan berkait dengan parti politik boleh menjejaskan imej serta kredibiliti Ketua Polis Negara.

Fuziah berkata, PKR berpendirian kesilapan itu tidak wajar berlaku dan menggesa agar satu siasatan dalaman dijalankan oleh pihak akhbar terbabit.

Mohd Khalid, 60, dilantik sebagai KPN ke-15 menggantikan Tan Sri Razarudin Husain, berkuat kuasa semalam.

Beliau berpengalaman memegang pelbagai jawatan penting dalam Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk Ketua Cawangan Khas Pahang bermula 25 Mei 2018 sebelum dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah E2 Cawangan Khas Bukit Aman pada 6 September 2021.