KOTA KINABALU : Industri pelancongan kekal sebagai pemacu ekonomi Sabah dengan mewujudkan lebih daripada 380,000 peluang pekerjaan merentasi pelbagai sektor.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, industri pelancongan Sabah menyumbang kira-kira 15 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tahun lalu.
Katanya, ia turut mencatat pencapaian signifikan pada 2023 apabila menyumbang sebanyak RM13.1 bilion kepada ekonomi negeri.
“Namun, statistik semata-mata tidak menceritakan keseluruhan cerita. Di sebalik setiap angka, terletak kehidupan, keluarga, dan individu yang menyumbang kepada ekonomi pelancongan.
“Kita menyaksikan sendiri bagaimana pelancongan dapat memperkasa komuniti, dan kita berbangga dengan kemajuan pelancongan berasaskan komuniti di Sabah,” katanya.
Teksnya disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew.
Hajiji berkata, Sabah adalah tempat kepada ramai pengusaha pelancongan berasaskan komuniti, yang digerakkan oleh individu serta keluarga dari kampung,.
“Setakat ini, pelancongan berasaskan komuniti terus berkembang di Sabah disebabkan potensinya yang besar dalam merangsang ekonomi, khususnya di kawasan luar bandar.
“Pada 2024, jumlah sumbangan hasil negeri daripada sektor ini mencecah RM7 juta yang datang dari 18 daerah aktif. Lebih banyak inisiatif berasaskan komuniti di daerah luar bandar sedang diperkenalkan bagi memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar,” katanya.
Hajiji berkata, kerajaan negeri turut kekal komited terhadap pembangunan industri pelancongan.
“Kita sedang melabur dalam infrastruktur melalui kerja penaiktarafan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) yang sedang berjalan
“Ini termasuk penambahbaikan jalan raya yang menghubungkan kawasan pelancongan luar bandar serta platform digital yang dipertingkatkan untuk mempromosi dan mengurus pengalaman pelawat secara efektif,” jelas Hajiji.
