Jerry Ambuting Lapor Polis Berkaitan Perarakan Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah 2.0

KOTA KINABALU : Seorang tokoh relawan negeri tampil membuat laporan polis terhadap satu perhimpunan awam yang didakwa mempunyai unsur pengaruh politik luar dan berpotensi menjejaskan ketenteraman awam.

Bekas Presiden Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (RELA) Negeri Sabah, Datuk Jerry Ambuting Mohd. Said meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat penganjur “Perarakan Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah 2.0” yang dijadual berlangsung pada 21 dan 22 Jun ini.

Katanya, ini termasuk sumber pembiayaan perhimpunan tersebut selain mengenal pasti sama ada wujudnya pengaruh politik luar yang cuba mengambil kesempatan.

“Meskipun perhimpunan ini menggunakan label “aman”, terdapat petunjuk yang membangkitkan kebimbangan terhadap niat terselindung di sebalik penganjurannya.

“Kita percaya ada unsur hasutan dan pengaruh luar, malah kemungkinan campur tangan parti pembangkang yang cuba memperalatkan mahasiswa untuk agenda politik sempit mereka,” katanya ketika membuat laporan polis di sini semalam.

Jerry berkata, beliau menegaskan perbuatan mempergunakan golongan mahasiswa, khususnya dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), bagi tujuan politik adalah suatu tindakan tidak bermoral dan membahayakan reputasi institusi pengajian tinggi.

“Mahasiswa seharusnya menjunjung nilai intelektualisme dan idealisme akademik.

“Bukan dijadikan perisai untuk demonstrasi jalanan yang didalangi kepentingan tertentu,” jelasnya.

Menurutnya, beliau menyuarakan kebimbangan perhimpunan tersebut boleh menjejaskan keharmonian dan keselamatan awam.

“Antara kebimbangan utama yang dinyatakan ialah potensi gangguan terhadap urusan perniagaan di pusat bandar, provokasi oleh pihak luar yang ekstrem.

“Ini termasuk risiko tercetusnya ketegangan kaum dan agama jika isu yang dibawa menyentuh sensitiviti rakyat Sabah,” katanya.