KOTA KINABALU : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan dua individu, melibatkan seorang penjawat awam serta pesara sebuah jabatan kerajaan di negeri ini.
Menurut sumber kedua-dua mereka disyaki meminta serta menerima rasuah berjumlah kira-kira RM66,000 sebagai dorongan memproses permohonan tanah dan melakukan bancian lot tanah.
“Kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 50 hingga 60-an itu ditahan kira-kira antara jam 10 hingga 11 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.
“Mereka dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2016 walaupun kedua-duanya tiada kelayakan untuk memproses permohonan dan juga tidak memiliki lot tanah untuk tujuan bancian,” katanya hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai menerima suapan berjumlah kira-kira RM54,000 dan RM12,000.
“Setiap seorang daripada beberapa individu bagi tujuan memproses permohonan tanah dan melakukan bancian lot tanah di bawah skim tanah milik kerajaan negeri,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Tambah beliau, kedua-dua suspek akan didakwa dalam masa terdekat.