KOTA KINABALU : Seorang lelaki dilaporkan hilang ketika mencari siput di kawasan pantai Kampung Kebagu, Sepanggar ditemukan lemas pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, mangsa berumur 45 tahun beralamat di Kampung Unggun, ditemukan terapung oleh pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di perairan berhampiran Kampung Wak-Wak, Sepanggar.
Katanya, mangsa ditemukan pada jam 11.27 pagi iaitu kawasan perairan sejauh 2.5 batu nautika dari jarak mangsa dilaporkan hilang.
“Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.52 pagi.
“Terdahulu, mangsa dikatakan keluar ke kawasan pantai berkenaan bersama bapa mertua dan seorang rakannya, kira-kira jam 8.00 malam tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ordine berkata, ketika hendak pulang kira-kira jam 9.30 malam, mangsa disedari hilang dan usaha mencari dijalankan ahli keluarga gagal.
“Operasi SAR segera diaktifkan di lokasi sebaik pihak bomba menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian pada jam 6.14 pagi tadi.
“Pasukan bomba bersama tujuh anggota dan pegawai bersama jentera dan terus digerakkan ke lokasi kejadian,” jelas Ordine.
Menurutnya, pasukan operasi berada dilokasi untuk mendapatkan maklumat seterusnya menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
“Operasi SAR dijalankan dengan kaedah Water Surface oleh Pasukan Penyelam Dalam Air (PPDA) menggunakan bot penyelamat di kawasan pantai di lokasi mangsa dilaporkan hilang,” kata Ordine.
