PUTATAN: Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun maut dalam keadaan tragis selepas motosikal yang ditungganginya terbakar 100 peratus akibat kemalangan dengan sebuah kenderaan di Jalan Utama berhampiran sebuah premis, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 pagi itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Musran Jabri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 sebelum menggerakkan lapan anggota bersama sebuah jentera ke lokasi.
“Sebaik tiba pada jam 4.51 pagi, pasukan mendapati sebuah motosikal terbakar sepenuhnya selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran salur bantu mula daripada jentera bomba,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.17 pagi selepas bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.
