KOTA BELUD: Seorang lelaki berusia 25 tahun yang dikhuatiri lemas ketika menyeberangi sungai di Kampung Lebak Engad di sini ditemukan meninggal dunia selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kedua.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, PKPgB Elge Bakuk berkata, mangsa ditemukan orang awam pada jam 6.15 petang, kira-kira 150 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Beliau berkata, operasi SAR dijalankan menggunakan teknik pencarian di permukaan air, bot penyelamat, pencarian di tebing sungai serta selaman oleh Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan pada jam 6.54 petang selepas pihak bomba memastikan tiada lagi risiko di lokasi.
