KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyelar kenyataan Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah mengaitkan pembangkang dengan penyebaran video skandal ‘ADUN Rasuah’.
Bung Moktar berkata, kenyataan itu dilihat cuba mengalih perhatian rakyat terhadap kes tuduhan rasuah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan Sabah termasuk Masiung sendiri dengan menuding jari ke arah pembangkang.
Katanya, video skandal ‘ADUN Rasuah’ itu dilakukan oleh individu yang tiada kaitan dengan parti politik BN dan tidak adil rasanya Masiung mahu mengaitkan pembangkang di Sabah dalang penyebaran video berkenaan.
“Saya berasa hairan dengan tuduhan itu kerana pihak kami telah menafikan sebarang penglibatan dalam penghasilan atau penyebaran video berkenaan.
“Sebagai wakil rakyat, Masiung sepatutnya bertanggungjawab terhadap perbuatan sendiri. Jangan hanya berani bertindak, tetapi takut untuk menghadapi akibatnya,” katanya dalam kenyataan media, di sini.
Bung Moktar berkata, beliau ingin mengingatkan Masiung dan pihak kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tentang fakta yang tidak dapat disangkal berkaitan isu dakwaan ADUN rasuah ini.
“Dalam semua video yang ditularkan itu, termasuk membabitkan Masiung sendiri, jelas menunjukkan urusan rundingan yang berlaku hanya melibatkan wakil-wakil rakyat GRS.
“Tiada kelibat atau penglibatan mana-mana individu dari pihak pembangkang. Rundingan dan perbincangan itu adalah urusan dalaman mereka yang akhirnya menemui jalan buntu,” jelas Bung Moktar.
Menurutnya, rakaman yang tular juga menunjukkan bukti perbualan wakil rakyat GRS terlibat secara langsung dalam penerimaan wang, seperti yang dapat dilihat dan didengar dalam setiap video.
“Ini adalah bukti jelas salah laku yang melanggar undang-undang, tanpa sebarang kaitan dengan pembangkang.
“Jika benar tuduhan itu tidak benar, mengapa sehingga hari ini tiada tindakan saman diambil terhadap media atau pihak yang menyebarkan video berkenaan,” kata Bung Moktar.
Beliau menjelaskan beliau ingin menasihatkan pihak kerajaan GRS agar berhenti membuat tuduhan tidak berasas terhadap pihak pembangkang.
“Untuk makluman, UMNO-BN tidak perlu bermain politik kotor kerana saya yakin rakyat Sabah tahu apa sebenarnya yang berlaku.
“Rakyat Sabah semakin matang dan bijak menilai, dan tindakan sebegini hanya akan membuka mata mereka tentang siapa yang sebenarnya bertanggungjawab dalam isu ini,” tambah Bung Moktar.
