Sabah Electricity gesa hentikan penyambungan haram

KOTA KINABALU : Sabah Electricity menggesa orang ramai tinggal di kawasan penempatan setinggan agar tidak melakukan perbuatan penyambungan elektrik secara haram.

Ketua Pegawai Operasi, Mohd Yusmanizam Mohd Yusof berkata, perbuatan ini bukan sahaja membahayakan pelaku tetapi orang awam yang tinggal atau berada di persekitaran kawasan penyambungan haram itu dipasang.

“Sabah Electricity sudah melaksanakan ratusan operasi membanteras aktiviti penyambungan haram di kawasan penempatan setinggan untuk mengekang dan mengawal aktiviti berkenaan.

“Penyambungan elektrik secara haram dan tidak selamat memberi risiko keselamatan seperti kebakaran akibat litar pintas serta terkena renjatan elektrik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai kejadian renjatan elektrik berlaku terhadap seorang lelaki di Jalan Lorong Kuala Neutron pada malam Khamis, beliau berkata, pasukan teknikal Sabah Electricity tiba di lokasi kejadian selepas menerima aduan pada jam 11.30 malam.

“Bekalan elektrik di kawasan itu dipadam untuk memberi laluan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah mengalihkan mangsa.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat sambungan haram pada peti pembekal ke lokasi kejadian yang menyebabkan renjatan terhadap mangsa.

“Kerja-kerja membersihkan sambungan haram terbabit dilaksanakan dan bekalan elektrik ke kawasan itu ditenagakan semula pada jam 12.58am,” katanya.

Katanya, Sabah Electricity turut menyeru orang ramai untuk melaporkan perkara berkaitan kepada Sabah Electricity melalui Careline Sabah Electricity 15444, 088- 515000 atau melalui aplikasi Whatsapp 019- 852 5427.