LABUAN : Jabatan Kerja Raya (JKR) Labuan menyerahkan projek menaik taraf 15 unit Kuarters Jabatan Kastam Di Raja Malaysia (JKDM) Labuan yang siap sepenuhnya di bulan lalu.
Majlis penyerahan Projek bernilai RM3.19 juta disempurnakan Pengarah JKR Labuan, Mohd. Faizul Mohd Ali Hanapiah kepada Pengarah JKDM Labuan, Aspalila Ag.Tuah diadakan di Perumahan Kastam Layang Layangan.
Terdahulu, Mohd Fairuz ketika berucap pada majlis itu berkata, projek bermula pada Julai dan siap sepenuhnya pada Penghujung November tahun ini melibatkan tujuh kontraktor bagi memastikan projek berkenaan siap mengikut jadual.
Katanya, projek tersebut melibatkan pembaikan struktur, pengindahan kawasan luaran dan dalaman, menaiktaraf sistem perpaipan dan sanitasi serta penambahbaikan akses lampu jalan raya.
Sementara itu, Aspalila berkata, langkah menyediakan penstrukturan kediaman yang selamat dan selesa kepada anggota Kastam amat penting.
“Ini kerana mereka turut memainkan peranan utama dalam menjamim keselamatan sempadan negara dan memastikan kutipan hasil.
“Pengubahsuaian kuarters ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan dalam menambah baik infrastruktur awam di Labuan,” katanya.
