LABUAN : UMNO Bahagian Labuan mengagihkan bantuan tangki air kepada semua rakyat yang terjejas bekalan air tanpa mengira fahaman politik mereka.
Ketuanya, Datuk Mohd Rafi berkata, beliau turut menyangkal dakwaan pihak tertentu kononnya pengagihan tangki hanya tertumpu kepada kroni sahaja.
Katanya, bantuan tangki air diluluskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diagihkan kepada semua rakyat terjejas melibatkan 27 kampung tanpa mengira fahaman politik.
“Agihan bantuan tangki air yang memasuki fasa kedua melibatkan 1,000 tangki sedang dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.
“Bantuan ini Kita akan memberi keutamaan kepada penduduk yang benar benar terjejas dan tidak mempunyai tangki di rumah.
“Fasa pertama 1,000 tangki telah pun selesai diagihkan pada tahun lalu yang melibatkan 18 kampung yang ketika itu berdepan dengan ganguan bekalan air yang amat kritikal,” katanya di sini hari ini.
Mohd Rafi merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, pengagihan tangki air ini dilakukan berdasarkan penilaian Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) dengan kerjasama Bahagian Bekalan Air.
“Ini agar penerima yang hanya layak mendapat bantuan tangki air tersebut.
“Jadi tidak timbul kononnya tangki air yang dipohon oleh UMNO untuk kroni sahaja.. itu tidak benar sama sekali.
“Bukan pemimpin UMNO yang menyenaraikan… tetapi di senaraikan oleh JPKK tanpa mengira warna kulit mahupun fahaman politik mereka,” jelas Mohd Rafi.
Menurutnya, beliau mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Kerajaan Perpaduan meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM 750,000 bagi pembelian tangki.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutamanya pihak Unit Penyelarasan Dan Pelaksanaan (ICU), Perbadanan Labuan, Bahagian Bekalan Air (BBA) Labuan.
“Ini termasuk pemimpin masyarakat yang sentiasa berusaha serta mempercepatkan urusan bantuan tangki air ini,” kata Mohd Rafi.
